Pages - Menu

May 24, 2010

Tokoh syor empat langkah kurang beban tugas guru



Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, menyarankan empat langkah khusus untuk mengurangkan beban tugas guru di sekolah melalui konsep ‘memasyarakatkan pendidikan’ yang tidak mencetuskan kos tambahan kepada kerajaan.

Empat langkah berkenaan ialah memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah, mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan, mempergiatkan sumbangan bekas pelajar, serta mewujudkan persatuan pesara guru.
Beliau yang bertanggungjawab dalam penghasilan Laporan Abdul Rahman Arshad yang mengandungi 82 perakuan pada Ogos 1996, berkata sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan konsep berkenaan, sekali gus memperluaskannya ke sekolah di seluruh negara.
“Menggembleng sepenuhnya kerjasama serta peranan ibu bapa dalam pelaksanaan aktiviti di sekolah, terutama bidang kokurikulum, secara langsung akan membantu guru memfokus kepada tugas pengajaran dan pembelajaran.

“Sebagai contoh, ibu bapa diberi ruang dan kepercayaan untuk mengatur serta mengendalikan penganjuran Hari Sukan di sekolah yang membabitkan banyak kerja di luar bilik darjah dan memakan masa guru selama ini,” katanya kepada Berita Harian.

Akhbar baru-baru ini melaporkan sebanyak 40 cadangan mengatasi beban tugas guru dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan, termasuk mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah.

Abdul Rahman berkata, Kementerian Pelajaran juga harus mempergiat usaha mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan di sekolah sebagai tanggungjawab sosial.
Dalam konteks ini, katanya, sektor swasta mampu berperanan merapatkan jurang prestasi pencapaian serta infrastruktur antara sekolah di bandar dan pedalaman.

“Matlamat ini boleh dicapai melalui program seperti anak angkat oleh syarikat swasta, tidak kira yang besar mahu pun kecil. Ketika ini, program sedemikian masih kurang dan kebanyakannya hanya terhad kepada sekolah yang majikan syarikat itu adalah alumni.

“Satu lagi langkah berkesan ialah menggerakkan secara aktif sumbangan murid tua’ atau bekas pelajar di sesebuah sekolah untuk membantu guru menjayakan program penting seperti bimbingan kerjaya dan ceramah menghadapi peperiksaan utama,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya persatuan pesara guru diwujudkan bagi membolehkan golongan yang kaya dengan pengalaman itu menyalurkan idea untuk membantu Kementerian Pelajaran menangani pelbagai isu berkaitan, termasuk dalam usaha mempertingkat profesionalisme guru.

INFO: Empat langkah khusus untuk mengurangkan beban tugas guru
  • Memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah
  • Mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan
  • Mempergiatkan sumbangan bekas pelajar
  • Mewujudkan persatuan pesara guru
berita harian

0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com