May 16, 2010
Prof Ibrahim penerima anugerah tokoh kepimpinan pendidikan 2010
Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, dipilih selaku penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 sempena Sambutan Hari Guru ke-39 hari ini.
Ibrahim adalah bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) dipilih penerima anugerah berkenaan di atas sumbangannya sebagai perunding dalam pembuatan dasar kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. Beliau adalah Penasihat Kebangsaan/Perunding Asia-Eropah Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malaysia dan kini terbabit dalam beberapa projek penyelidikan dan mengawasi beberapa pelajar peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Ibrahim juga menganggotai Lembaga Penasihat Akademik di beberapa pusat pengajian tinggi negara dan beliau sudah menulis lebih daripada lima ratus rencana dan penulisan ilmiah yang merangkumi isu penting dalam pembangunan nasional yang berkaitan dengan pendidikan, modal insan, intelektual dan sosial.
Ibrahim berkata, bila seseorang menerima sesuatu anugerah bukan atas usahanya sendiri saja malah turut membabitkan usaha orang lain.
"Anugerah ini adalah untuk semua kaum guru yang memikul tanggungjawab yang besar mendidik anak bangsa.
"Guru mempunyai cabaran yang banyak untuk perubahan masyarakat bukan saja di negara ini malah seantero dunia," katanya pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Sementara itu, empat bekas guru, Awang Mohamad, 59; Encharang Agas, 66; Datuk Chuang Keng Kung, 72, dan Ainun Jamilah Mohd Ali, 60, pula telah dipilih bagi menerima anugerah Tokoh Guru 2010.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan anugerah Tokoh Guru 2010 itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Salah seorang penerima Tokoh Guru berkenaan, Awang Mohamad amat berbangga dengan anugerah yang diterima itu.
"Tahun demi tahun saya lihat upacara pelancaran ini semakin hebat dan ini adalah satu manifestasi kepada lebih 400,000 guru dan 7,000 Guru Besar seluruh negara," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengharapkan anugerah Tokoh Guru itu dapat diperluaskan lagi kerana nisbah empat penerima dengan jumlah guru yang ada amat sedikit.
Kesemua pemenang berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM10,000, piala serta sijil penganugerahan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika berucap pada majlis itu berkata, kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti.
Katanya, dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme keguruan, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata.
"Ianya turut bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru. Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi," katanya.
Pendidik juga katanya, hendaklah sentiasa bersedia untuk berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment