Pages - Menu

May 22, 2010

Kerajaan tidak cadang laksana lesen guru: Muhyiddin

Cadangan supaya guru disyaratkan memiliki lesen perguruan hanyalah antara perkara yang dibincangkan dalam pemukiman Kementerian Pelajaran baru-baru ini dan kerajaan tidak bercadang melaksanakannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selepas meneliti perkara itu kerajaan mendapati cadangan supaya guru memiliki lesen perguruan sama seperti doktor, peguam, dan akauntan tidak praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia.
"Itu hanya satu perkara yang dibincangkan dalam pemukiman kementerian, tapi ia tak ada apa, cuma pandangan guru besar dan guru yang mahu tekankan kualiti guru yang mengajar.
"Saya sudah teliti perkara itu dan saya berpendapat ia tidak sesuai dan tidak akan laksanakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus di sini hari.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, semalam bahawa kementerian itu sedang menimbang untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Muhyiddin berkata, kementerian itu sudah mempunyai penilaian tersendiri yang digunakan untuk meneliti kedudukan guru yang ada.

"Kalau mereka (guru) ini didapati tidak begitu baik, mereka dihantar sertai kursus, jadi soal perlesenan ini tidak berbangkit dan saya sendiri berpendapat ia tak praktikal di Malaysia.
"Banyak negara lain ada buat sistem begitu (perlesenan) tapi di sini kerana soal pendidikan ini disediakan oleh kerajaan, pendidikan percuma walaupun ada swasta. Yang peringkat swasta ada lesen sekolah, tapi tak ada lesen guru lagi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sambutan masyarakat tempatan dan sektor swasta terhadap pengumuman bantuan kerajaan termasuk geran pelancaran selain latihan kepada bakal guru pendidikan pra sekolah adalah amat menggalakkan.

Baru-baru ini kerajaan membuat pengumuman akan membantu sektor swasta untuk melaksanakan pendidikan pra sekolah, namun bantuan itu hanya akan diberikan kepada sektor swasta yang mematuhi kurikulum Kementerian Pelajaran.

Bernama

0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com