May 18, 2010
KPM perlu ada kerangka penilaian lebih komprehensif: Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan agenda pendidikan termasuk di dalam kegiatan sukan.
Menurut Menteri Pelajaran, kementerian sewajarnya berkemampuan memberi laporan prestasi di dalam bidang-bidang lain selain akademik termasuk sukan.
"Dengan ini, pandangan yang mengatakan KPM terlalu menumpukan kepada bidang akademik sahaja dapat disangkal atau ditangani," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 2010 di Stadium Larkin, hari ini.
Di antara aspek yang diberikan penekanan di dalam rancangan transformasi pendidikan yang bakal dilaksanakan tahun depan, katanya, adalah perubahan di dalam kurikulum sekolah supaya ia lebih menyeronokkan dan menarik.
Sukan menurut Muhyiddin, mampu memberikan impak yang besar kepada proses transformasi ini selaras dengan Falsafah Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Beliau berkata, selaras dengan rancangan transformasi pendidikan itu maka dasar satu murid mengambil sekurang-kurangnya satu jenis sukan akan mula dilaksanakan tahun depan.
Dasar itu, kata Timbalan Perdana Menteri, dilaksanakan untuk mengembalikan kemeriahan sukan sekolah.
"Dasar ini bukanlah satu perkara yang baru kerana sukan memang merupakan aktiviti wajib di kalangan pelajar sekolah. Ianya bersesuaian dengan naluri dan keperluan tumbesaran kanak-kanak yang tidak boleh dinafikan," katanya.
Mengulas Kejohanan Balapan dan Padang MSSM tahun ini, beliau berkata, kejohanan yang merupakan sebahagian daripada program Sukan Prestasi Tinggi di Sekolah, merupakan medan terbaik kepada atlet sekolah untuk mempamerkan kebolehan serta kehandalan masing-masing.
Muhyiddin juga berkata, Malaysia yang akan menjadi tuan rumah kepada Asean School Games yang kedua pada Julai ini perlu menyediakan atlet dengan rapi supaya mampu menjuarai temasya itu. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment