Pages - Menu

July 27, 2010

Penghargaan untuk wanita sempena Minggu Apresiasi Wanita..




Disini dipaparkan tentang perjuangan & pengorbanan wanita ketika zaman Rasulullah s.a.w. semoga paparan ini dapat mendorong semua wanita IPG KDRI untuk mengikut jejak langkah mereka!

Allah swt menjadikan kaum Hawa begitu istimewa & unik dan begitu besar peranannya dalam salasilah kemanusiaan. Antara wanita yang begitu besar peranannya yang telah Allah kirimkan ke umat manusia disamping Hawa adalah Hajar ibu kepada Ismail a.s, Maryam ibu Isa a.s, Khadijah r.a isteri Rasulullah saw dan Fatimah Zahrah binti Rasulullah saw.

Peranan mereka ini jauh tersasar dari pandangan kalangan lelaki (tak kiralah dari apa kaum atau kepercayaan) yang menganggap wanita cuma sesuai untuk digunakan sebagai pelepas nafsu dan penyedia serta penghidang makanan dan peghias rumah.

Hajar umpamanya kalau kita kaji peranannya merupakan wanita yang bertanggungjawab membuka dan memajukan Kota Mekah. Apalah Mekah tanpa wanita ini, yang telah menemui telaga Zam-zam bersama Puteranya Ismail. Wanita cekal yang berdikari dan akhirnya melahirkan satu tamadun.


Khadijah
umpamanya berperanan menghiburkan hati, memupuk semangat dan melindungi sumainya yang akhirnya dinobatkan sebagai Nabi akhir zaman. Tatkala Muhammad saw dalam ketakutan dan kebingungan, Khadijah dengan izin Allah lah yang telah menenangkannya dan manusia yang pertama memperakui ke nabiannya.

Fatimah pada usia yang muda berhadapan dengan musuh-musuh Allah, Abu Jahal dan Abu Lahab yang telah bertanggungjawab sehingga tercurahnya najis di atas tubuh Baginda ketika bersolat di hadapan Kaabah. Fatimah menggantikan ibunya membakar semangat dan menghiburkan hati Baginda. Bersusah dan berkorban lantaran taat dan patuhnya pada Allah dan Rasul.

Kita semua memandang tinggi dan mengkagumi wanita-wanita besar ini, bukan kerana paras tubuhnya, bukan kerana kecantikannya (walaupun mereka mungkin demikian) tetapi lebih kerana kecekalan, ketabahan, keberanian dan sumbangan besar mereka terhadap Islam.

Jemu apabila terdengar isu wanita dibangkitkan maka persepsi biasa kaum lelaki (sebahagiannya) adalah pada keindahan dan tubuh badan mereka semata-mata. Sehingga ada yang lebih gemar membincangkan isu kahwin dua, tiga dan empat, dari menghargai dan menghormati wanita seumpama kita menghormati Hajar, Khadijah dan Fatimah.

Wanita yang paling patut dihormati dalam hidup adalah insan bergelar IBU!!!!!

Ibu yang melahirkan dan bersusah membesarkan kita tidak terbayar oleh jasa dan ketabahannya itu. Ibu sudah tentu telah berjaya membesarkan kita sehingga seadanya skita pada hari ini, tetapi kita sendiri belum tentu mampu memeliharanya sebagaimana yang telah beliau lakukan terhadap kita suatu ketika kecil dahulu. Sememangnya tidak ternilai kasih sayang seorang ibu...

Mengenangkan jasa ibu yang kita kasihi ini memungkinkan kita tidak tergamak melakukan sesuatu yang bakal menghiris dan melukai hatinya, walaupun kadangkala kita mungkin terlupa. Kesimpulannya dalam mengharungi Minggu Aspresiasi Wanita peringkat IPG KDRI, sudah tiba masanya untuk kita meletakkan wanita pada kedudukannya yang sebenar. Hormatilah mereka, berikanlah hak mereka dimana yang perlu. Hargailah wanita dengan pengorbanan, kecekalan & kebolehan mereka..kerana wanita adalah penyeri dunia yang tidak tenilai malah, lebih bernilai dari permata..

0 comments:

 

Template by BloggerCandy.com