Pages - Menu

June 21, 2010

Juara SUKMA 2010, Terengganu Umum Cuti 27 Jun (Ahad)



KEMAMAN, 20 Jun - Kontinjen SUKMA Terengganu yang berjaya mengekalkan kejuaraan berganda dalam kejohanan SUKMA di Melaka yang berakhir Sabtu, menerima perkhabaran gembira apabila Menteri Besar Datuk Ahmad Said mengumumkan kenaikan pemberian insentif terhadap atlet yang berjaya merangkul pingat dalam kejohanan itu.

Atlet yang meraih pingat emas kini menerima habuan RM5,000 bagi setiap pingat yang diperolehi diikuti RM3,000 untuk pingat perak dan RM2,000 untuk pingat gangsa berbanding hanya RM3,000 untuk emas, RM2,000 untuk perak dan RM1,000 dalam kejohanan sebelum ini di tempat sendiri.

Ahmad yang ternyata gembira dengan kemenangan Terengganu turut mengumumkan cuti umum Ahad depan.

Beliau meraikan kontinjen Sukma Terengganu di Padang Astaka Majlis Perbandaran Kemaman.

Pengumuman tersebut disambut dengan sorakan gembira dan jeritan `Terengganu Nelang' oleh atlet-atlet yang terlibat selain jurulatih dan pengurus pasukan.

Sebelum itu konvoi kenderaan yang membawa seramai 482 atlet bersama piala pusingan dan piala iringan juara keseluruhan SUKMA dibawa berarak dari pintu gerbang Terengganu-Pahang mengelilingi Bandar Chukai sebelum berakhir di Padang Astaka.

Dalam kejohanan SUKMA ke-13, Terengganu dinobatkan selaku juara selepas meraih 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa manakala Selangor muncul naib juara dengan meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

Dalam kejohanan SUKMA di Terengganu pada 2008, Terengganu meraih 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Ahmad berkata kejayaan Terengganu mengekalkan kejuaraan membuktikan negeri itu mampu menjadi kuasa baru sukan negara dan bukanlah jaguh kampung seperti yang dianggap sebelum ini.

"Dalam kejohanan SUKMA di Terengganu semasa tahun 2008 telah saya katakan kita mampu menjadi kuasa baru sukan, dan Alhamdulillah apa yang saya katakan itu berjaya dibuktikan.

"Kita muncul sebagai juara walaupun bertanding di gelanggang orang dan dengan kemenangan ini kerajaan negeri akan menaikkan pemberian insentif terhadap pemenang pingat dan akan memberikan cuti umum," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini.

Katanya, beliau juga berbangga kerana dalam sukan-sukan tertentu, seperti lumba basikal, kebanyakannya diwakili atlet-atlet kelahiran Terenggganu walaupun mewakili negeri lain.

Sehubungan itu, katanya untuk memastikan kecemerlangan Terengganu dalam bidang sukan, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri akan terus melakukan latihan-latihan insentif untuk atlet termasuk latihan di luar negara dan menggunakan jurulatih import.

Atlet kanu Siti Rajiah Ali, 20, menjadi penerima ganjaran tertinggi sebanyak RM35,OOO apabila memenangi tujuh pingat emas daripada tujuh acara berpasukan dan individu yang disertainya.

Beliau menyifatkan ganjaran yang diumumkan oleh Menteri Besar itu satu hadiah yang bermakna untuk dirinya lebih-lebih lagi ini merupakan kali terakhir penyertaannya dalam SUKMA.

Dalam kejohanan SUKMA lepas, Siti Rajiah pernah muncul sebagai pemenang ganjaran tertinggi yang ditawarkan oleh kerajaan negeri apabila menerima RM21,000 setelah menerima enam pingat emas dan mencatatkan tiga rekod baru kejohanan.

- BERNAMA

June 14, 2010

AL-FATIHAH


pihak jawatankuasa perwakilan pelajar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat-sahabat salah seorang pelajar PPISMP PJ semester 2, Akmal Naim yang telah pulang ke rahmatullah pada tengah hari tadi...
semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham... ~AL-FATIHAH~

berita lanjut akan menyusul...
 

Template by BloggerCandy.com